Thursday 1 March 2012

DOA SEBAGAI KAEDAH RAWATAN

Kaedah rawatan pada asasnya berdasarkan kepada doa-doa, yang terdiri daripada ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis, contoh-contoh amalan Rasulullah s.a.w., doa yang dibaca oleh nabi-nabi, para sahabat dan lain-lain doa, termasuk doa yang diamalkan oleh para salihin. Bahan utama yang digunakan ialah air, manakala bahan tumbuh-tumbuhan, binatang, sebahagian anggota binatang tertentu, atau keseluruhannya adalah bahan tambahan.

          Dalam sebuah hadis, riwayat daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. ada bersabda menjelaskan bahawa tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah selain daripada doa. Allah s.w.t. menyuruh agar setiap hamba berdoa memohon kepadaNya (Ghafir: 60). Allah s.w.t. menyuruh agar setiap hamba itu berdoa dengan rasa rendah diri, suara lembut (al-A'raf: 55), dan ikhlas (al-Mu'min: 14). Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda menyatakan bahawa berdoa adalah ibadah yang akan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t.

         Fungsi doa, di antaranya ialah untuk menolak bala dan mengubah qada' Allah s.w.t. Berdoa merupakan salah satu cara bertaqarrub (menghampirkan diri), daripada seorang hamba kepada Tuhannya. Sesungguhnya Allah s.w.t. itu sentiasa bersama hambaNya, selama ia berdoa. Andainya hamba berkenaan mengingati Allah dalam dirinya, Allah akan mengingati hamba berkenaan dalam diriNya. Andainya hamba berkenaan mengingati Allah s.w.t. sepenuh raga, Allah s.w.t. akan mengingati hamba berkenaan lebih daripada itu. begitulah gamabaran, betapa kasihnya Allah terhadap hamba yang berdoa mengingatiNya, yang akan melakukan lebih daripada apa yang dilakukan oleh hamba berkenaan. 
         Ternyata di sini bahawa berdoa itu adalah perlu bagi setiap orang yang beriman, biarpun tidak dapat dinafikan bahawa sesuatu doa itu tidak akan terlaksana atau dikabulkan kecuali ia menepati qada' ketentuan Ilahi             (Marzuki, 1989: 11).
          Terlalu banyak ayat-ayat al-Quran menyatakan tentang suruhan berdoa, termasuklah doa-doa yang berkaitan dengan kesejahteraan dan kesihatan, di antaranya ialah ayat-ayat al-Quran pada surah al-Baqarah 250 dan 286, surah ali-Imran: 8 dan 147, surah al-Furqan: 74, surah al-Hasyir: 10, al-Kahf: 10, at-Tahrim: 8, surah al-Anbiya': 83-84 dan 89-90, surah Taha: 25 dan 28, surah al-Mu'minun: 97-98, surah an-Naml: 19 dan lain-lain ayat.
          Terdapat doa para nabi yang berkaitan dengan kesembuhan dan kesihatan. Di bawah ini diperturunkan sebahagian daripada doa-doa tersebut. Doa-doa ini diperturunkan maknanya sahaja tanpa huraian:

Doa Nabi Ibrahim (al-Mumtahinah: 54-55)

Maksudnya: "Ya Tuhan kami hanya kepada Engkaulah kami bertawakkal dan hanya kepada Engkaulah kami bertaubat, dan hanya kepada Engkaulah kami kembali. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami (sasaran) fitnah bagi orang-orang kafir. Dan ampunilah kami ya Tuhan kami. Sesungguhnya Engkau, Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

Doa Sayyidina Zakaria a.s.:
  1. Surah ali-Imran: 38: 
Maksudnya: "Tuhanku, berilah aku dari sisiMu seorang anak yang baik, Sesungguhnya Engkau maha mendengar doa".

     2. Surah Maryam: 4

Maksudnya: "Ya Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah dipenuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepadaMu ya Tuhanku."

     3. Surah al-Anbiya': 89

Maksudnya: "Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan aku hidup seorang diri, dan Engkaulah Waris yang paling baik."

Doa Nabi Musa a.s. (Taha: 25-29):

Maksudnya: "Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kelu dari lidahku, supaya mereka memahami perkataanku, dan anugerahkanlah daku untukku seorang pembantu dari keluargaku."

Doa Nabi Ayyub a.s. (al-Anbiya': 83)

Maksudnya: "(Ya Tuhanku) sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang."

Doa Junjungan Nabi Muhammad s.a.w. :

  1. Al-Isra': 80
Maksudnya: "Ya Tuhanku, masukkanlah aku dengan cara yang baik dan keluarkanlah aku dengan cara yang baikk dan berikanlah daku dari sisiMu kekuasaaan yang menolong."

     2. Al-Mu'minum: 97-98

Maksudnya: "Ya Tuhanku, aku berlindung kepadaMu daripada bisikan-bisikan syaitan, dan aku berlindung kepadaMu ya Tuhanku daripada kedatangan ,mereka kepadaku."

         Berdoa bererti mengingati Allah. Tabiat manusia sering lupakan Allah, lebih-lebih lagi ketika dlam keadaan sihat, muda dan tidak bermasalah, dan akan lebih mengingati Allah s.w.t. ketika dalam keadaan susah. kerana itulah dikatakn bahawa di antara tanda-tanda kebahagiaan hidup seseorang hamba itu ialah mereka yang berupaya mengingati Allah s.w.t. ketika dalam keadaan senang dan susah.
        Allah s.w.t. menggesa agar setiap hamba itu berdoa memohon kepadaNya, sama ada untuk memohon pertolongan ataupun perlindungan, dan Dia akan memperkenankannya (Ghafir: 60). Ini adalah merupakan janji Allah s.w.t.  Allah Maha Berkuasa lagi Maha Agung dan tidak akan memungkiri janji-janjiNya. Masalah yang sering timbul di kalangan hamba ialah apabila doa yang dipohon itu masih tidak juga sembuh, bencana dan masalah hidup terus menerus menimpa bertubi-tubi biarpun telah puas berikhtiar, berdoa dan bertawakkal.

Saturday 11 February 2012

 PESANAN
TUAN GURU DATO Dr HARON B. DIN
PENGASAS DAN PENAUNG DARUSSYIFA PUSAT



10   Perinsip Asas Rawatan Islam

1.    Ada Penyakit ada Ubat

2.    Allah yang menjadikan penyakit , Dialah yang menjadikan ubatnya.

3.    Kesembuhan bukan milik sesiapa, hanya milik Allah Ta'ala.

4.    Manusia boleh berusaha, insya' Allah kalau kena dengan ubatnya, Allah Ta'ala akan sembuhkan.

5.    Al-Quran adalah panduan dan penghubung kepada kesembuhan penyakit.

6.    Doa'-doa' dan bacaan-bacaan adalah ikhtiar yang menjadi sebab untuk sembuh penyakit.

7.    Rawatan dengan bacaan ataupun doa', telah diijmakkan harus oleh para ulama', malah digalakkan dengan tiga syarat;
           i. Dengan membaca Al-Quran (dengan bacaan yang betul).
          ii. Dengan bacaan-bacaan (selain daripada Al-Quran) yang diketahui maknanya.
          iii. Dengan mengiktikadkan bahawa Allah ta'ala sahaja yang akan menyembuhkan.

8.    Bahan ubat hendaklah daripada bahan yang halal dan harus (jangan menggunakan bahan-bahan yang haram seperti benda yang najis, tangkal dan seumpamanya)

9.   Tidak boleh berputus asa dalam berikhtiar untuk mencari ubat dan kesembuhan.

10.  Keyakinan kepada diri sendiri, ubat yang dibuat, doa yang dibaca dan ikhtiar yang betul, pasti Allah Ta'ala akan menyembuhkan.